KUALA KEDAH, 23 Disember - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran selepas menemui 40 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi kira-kira 400 kilogram bahan tersebut yang terapung di perairan Pantai Leman,di sini pada Isnin (semalam).
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak dalam kenyataan berkata, penemuan pada pukul 2.22 pagi itu dipercayai hasil tindakan sindiket yang membuang bungkusan berkenaan ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Menurutnya, operasi itu berjaya dilaksanakan hasil maklumat risikan apabila bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di bawah Operasi AMAN dan Operasi GUARD Bil. 5/2025 mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan operasi kira-kira 0.3 batu nautika dari Pantai Leman.
“Kesemua 40 bungkusan plastik hitam berkenaan yang dianggarkan bernilai RM60,000 telah dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Hasil siasatan awal turut mendapati aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran masih berlaku meskipun tidak serancak sebelum ini susulan tindakan negara jiran yang membenarkan penanaman pokok ketum di sana.
Namun begitu, permintaan terhadap daun ketum dari Malaysia masih wujud berikutan kualitinya yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Zon Maritim Kuala Kedah menegaskan komitmen berterusan agensi tersebut dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah maritim, khususnya yang melibatkan bahan terlarang, demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731 0579.