Mangsa ribut di Perak, bakal terima bantuan sewajarnya


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad / BERNAMA

IPOH, 25 Februari– Bantuan sewajarnya akan diberikan kepada mangsa ribut yang melanda Taman Damai, Taiping.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai Daerah diarahkan membuat bancian terperinci untuk kenal pasti kerosakan, jumlah premis terjejas dan keperluan bantuan.
  • Bantuan baik pulih rumah akan disalurkan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan selepas penilaian selesai.
  • Pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan mangsa, kini menempatkan 45 mangsa daripada 28 keluarga.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama telah diarahkan menjalankan bancian terperinci bagi mengenal pasti tahap kerosakan, jumlah premis terjejas serta keperluan bantuan.

Jelas beliau, bantuan baik pulih rumah mangsa bencana lazimnya disalurkan kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), selepas penilaian kerosakan selesai.

“Saya difahamkan, semalam pun mereka telah ambil tindakan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membolehkan, terutama bagi mereka yang berpuasa dan berbuka puasa, ada tempat tinggal dan ada tempat untuk buka puasa.

“Jadi, setakat ini kita akan melihat cadangan daripada Pegawai Daerah tentang sumbangan atau keperluan kewangan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan serta Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Terdahulu, dalam kejadian petang semalam, angin kencang menyebabkan beberapa kediaman rosak teruk termasuk bumbung tercabut dan ada rumah mengalami kerosakan
menyeluruh.

Mangsa yang terjejas ditempatkan di PPS di Dewan Serbaguna Taman Kaya, menempatkan 45 mangsa daripada 28 keluarga.