fb fb fb fb fb

Mangsa bot karam di Perairan Pulau Bruit ditemukan meninggal dunia

Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Pulau Bruit, Daro ditemukan meninggal dunia/Foto APMM

DARO, 13 Disember - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Pulau Bruit, di sini, ditemukan meninggal dunia hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata mayat mangsa ditemukan pada pukul 12.05 tengah hari, kira-kira 3.5 batu nautika di barat laut Pantai Tekajong.

Menurut beliau, mangsa telah dikenal pasti oleh ahli keluarga sebagai Aldin Rakli, 59. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, mangsa dipercayai tercampak ke laut selepas bot yang dinaiki bersama adik iparnya karam akibat dipukul ombak kuat ketika dalam perjalanan dari Pulau Bruit ke Kuala Matu.

Bagaimanapun, adik ipar mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN