KANGAR, 27 Februari- Penglibatan golongan muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diharap dapat dijadikan sebagai "batu loncatan" untuk mereka membina masa depan.
Ini dalam mengadaptasikan cabaran seperti Revolusi Perindustrian 4.0, gelombang Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) dan dominasi automasi.
Cabaran ini sedang berkembang pesat dan ia memerlukan sifat modal insan yang terlatih, cekap dan berdaya saing.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan belia hendaklah sentiasa mahu mempelajari serta meneroka kemahiran dan ilmu baharu dari semasa ke semasa agar kekal relevan dengan keperluan industri.
Selain itu, ia juga akan dapat mengurangkan isu pengangguran serta dapat meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
Demikian titah baginda ketika menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Muhammad Turmidzi Abdul Rahim, yang tinggal bersama tiga orang ahli keluarga yang lain di Abi, Kangar.
Turut hadir mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.