fb fb fb fb fb

Manfaatkan kedudukan geografi, kembangkan potensi industri maritim negara

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Malaysia perlu memanfaatkan kedudukan geografinya yang strategik, untuk mengembangkan potensi industri maritim yang lebih berdaya maju.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ke arah itu, sinergi antara kerajaan dengan pemain industri perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan keseluruhan sektor maritim di Malaysia terus mara ke hadapan.

Ini termasuk mempergiat usaha membina Malaysia sebagai hab bunkering bertaraf dunia yang diyakini pelabur antarabangsa.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook)

"Kita ada 13 buah negeri. Setiap negeri dalam Persekutuan Malaysia ini ada perairan, ada pesisir pantai...tidak banyak negara yang macam ini di mana setiap negeri di dalam negara itu ada pesisir pantai.

"Ini adalah satu anugerah tuhan yang sangat bernilai dan berharga untuk negara kita.Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama, antara kerajaan dan pemain industri, untuk memastikan pembangunan keseluruhan sektor maritim di Malaysia terus mara ke hadapan seiring dengan perubahan zaman," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bunkering Malaysia (MBA) dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), di sini.

Tambah Loke, dengan termeterainya MoU antara MBA dan MASA kerjasama itu diharap dapat menjadi titik permulaan ke arah merancakkan pertumbuhan aktiviti bunkering dan ekosistem perdagangan maritim di negara ini.

Dalam pada itu, Loke berkata Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) perlu diaktifkan semula bagi melaksanakan fungsinya sebagai badan induk dalam menangani cabaran kelestarian dunia perkapalan dan industri maritim.

Beliau berkata, majlis yang pernah ditubuhkan pada 2018 itu diyakini dapat menjadi platform terbaik untuk perbincangan perkara-perkara dasar di antara Kementerian Pengangkutan dengan pemain industri maritim.

"Jadi, kita hendak hidupkan semula majlis itu sebagai satu pertemuan secara berkala, yang lebih sistematik supaya isu-isu dasar dapat dibincangkan.

"Banyak perkara perlukan keputusan dasar daripada kerajaan melalui kementerian pengangkutan. Ada majlis seperti ini, kita buat perbincangan di peringkat teknikal dahulu...selepas itu kita buat kertas pertimbangan, kertas pertimbangan itu dibentangkan di majlis dan mendapat input daripada semua. Jadi, kita boleh buat satu ketetapan dan itu yang akan membantu penggubalan dasar yang lebih baik," katanya.

Media Baharu