fb fb fb fb fb

Manfaatkan cuti panjang, meriahkan sambutan Hari Malaysia di PICCA

Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Hazmiza Hussin ditemui selepas menjadi tetamu di konti MUTIARAfm.

GEORGE TOWN, 11 September - Pelbagai aktiviti menarik menanti orang ramai bersempena sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Komuniti dan Kebudayaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA), Butterworth pada 16 September ini.

Antara tarikan utama ialah persembahan tarian tradisional warisan negeri seperti boria dan Teo Chew, selain gabungan tarian pelbagai komuniti lain.

Turut memeriahkan sambutan ialah deretan trak makanan yang menawarkan pelbagai sajian tempatan dan luar negeri untuk dinikmati para pengunjung.

Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Hasmiza Hussin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan acara berkenaan.

“Datanglah beramai-ramai, gunakan kesempatan cuti panjang ini untuk bersama berada di Pulau Pinang, lihat keindahan negeri ini dan singgah di PICCA bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia,” katanya kepada RTM selepas hadir sesi perkongsian pengisian sambutan itu di konti MUTIARAfm.
 
Dianggarkan seramai 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri akan hadir bagi menyemai semangat perpaduan hari bersejarah itu.

Majlis perasmian akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan jemaah menteri dan pimpinan kerajaan negeri.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI