fb fb fb fb fb

'Man On The Run' berat sebelah, gesa Netflix tarik siaran - Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) menyifatkan dokumentari berjudul 'Man On The Run' yang ditayangkan di saluran Netflix sebagai propaganda dan berat sebelah berbanding mengupas isu dengan profesional dan beretika.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mengutuk penyiaran dokumentari itu mendakwa ada kandungan bersifat melampau seperti mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan Kelvin Morais.

“Tanpa mahu menafikan kebebasan media mahupun kebebasan bersuara, Pemuda UMNO melihat kandungan dan kupasan menerusi wawancara terhadap beberapa pihak dalam dokumentari ini menyatakan pelbagai perkara terhadap Najib.

“Ia antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah sekali gus melanggar nilai kebebasan bersuara yang diberikan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dakwanya lagi, penyiaran kandungan dokumentari itu juga suatu bentuk ‘trial by media’ (perbicaraan oleh media) tatkala Najib masih berhadapan perbicaraan mahkamah dan mempunyai niat jahat membentuk persepsi yang negatif ke atas Najib.

"Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak di dalam dokumentari ini juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan, dan ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak," katanya.

Oleh itu, Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Netflix untuk mengeluarkan dokumentari itu secepat mungkin.

Tambah Muhamad Akmal, setiap individu dilindungi oleh undang-undang dan selagi mana seseorang itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah, adalah salah untuk pihak-pihak menjustifikasikan individu tersebut bersalah.

“Pemuda UMNO sentiasa memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi. Maka atas prinsip inilah, kita menyeru agar semua pihak dapat menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu, seperti mana yang telah dimaktubkan di dalam nas perundangan negara,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN