fb fb fb fb fb

Malaysia–Türkiye meterai MoU audit, perkukuh kerjasama strategik dua hala

Malaysia–Türkiye meterai MoU audit / Foto Jabatan Audit Negara

PUTRAJAYA, 16 Disember - Malaysia dan Republik Türkiye memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Audit Negara dan Turkish Court of Accounts bagi memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama profesional dalam bidang pengauditan.

Pemeteraian MoU buat julung kali itu menandakan komitmen bersama kedua-dua negara untuk mempertingkat kerjasama institusi audit tertinggi sejajar keperluan tadbir urus kewangan awam global.

Jabatan Audit Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, MoU tersebut mencerminkan iltizam bersama untuk memperkasa kerjasama teknikal, pertukaran kepakaran serta perkongsian amalan terbaik pengauditan.

"Bagi tempoh tiga tahun pertama pelaksanaannya, Pelan Tindakan MoU ini meliputi perkongsian bersama antara JAN dan Institusi Audit Tertinggi Republik Türkiye dalam bidang pengauditan pendigitalan, perubahan iklim dan alam sekitar serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di samping perkongsian khusus oleh setiap SAI dalam bidang pengauditan lain berasaskan kepakaran teras masing masin," menurut kenyataan itu.

MoU berkenaan turut memperkukuh penglibatan aktif Malaysia dan Türkiye dalam platform antarabangsa seperti Asian Organization of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) dan International Organization of Supreme Audit Institutions (INTOSAI), termasuk penyertaan Türkiye dalam kumpulan kerja audit dipengerusikan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menerima kunjungan hormat President of the Turkish Court of Accounts, Metin Yener, di Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara, di sini, pada Isnin.

Lawatan rasmi Presiden Turkish Court of Accounts ke Malaysia merupakan kesinambungan lawatan penanda aras pendigitalan Jabatan Audit Negara ke Ankara pada Oktober 2023.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN