fb fb fb fb fb

Malaysia–Bangladesh tandatangani lapan MoU strategik

Majlis pertukaran dokumen berlangsung di Kompleks Perdana Putra, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus

PUTRAJAYA, 12 Ogos – Malaysia dan Bangladesh hari ini menandatangani lapan Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai bidang strategik, sempena lawatan rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus ke Malaysia.

Majlis pertukaran dokumen berlangsung di Kompleks Perdana Putra, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Prof Dr Muhammad.

Antara yang terlibat ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

MoU yang dimeterai termasuk pertukaran nota kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan latihan diplomat, kerjasama pertahanan, bekalan serta infrastruktur gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum, selain pembangunan ekosistem halal.

Kerjasama turut melibatkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) bersama Bangladesh Institute of International and Strategic Studies, MIMOS Services Sdn. Bhd. dengan Bangladesh–Malaysia Chamber of Commerce & Industry (BMCCI), serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Federation of Bangladesh Chambers of Commerce and Industry (FBCCI).

Majlis ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Bangladesh, dengan memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan dan kerjasama strategik jangka panjang.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN