PUTRAJAYA, 4 Februari - Malaysia menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.
Kesedian itu termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusian, di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebajikan bagi manfaat bersama.
Komitmen itu merupakan fokus utama lawatan kerja selama empat hari Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Qatar pada 31 Januari hingga 4 Februari 2022 dengan mandat dan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Tujuan lawatan ini adalah untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang sedia terjalin serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya," menurut kenyataan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, yang dikeluarkan petang ini.
Dalam lawatan itu, Abdul Hadi berkesempatan mengadakan kunjungan ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar yang baharu dan beramah mesra dengan rakyat Malaysia yang menetap di sana.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh utama seperti Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani; Menteri Perdagangan dan Industri, Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani dan Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Lolwah binti Rashid Al-Khater.
"Abdul Hadi kini sedang menjalani kuarantin di rumah mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," tambah kenyataan itu.