fb fb fb fb fb

Malaysia-Vietnam sedia perkukuh hubungan dua hala, kerjasama strategik

Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 30 Julai - Malaysia dan Vietnam bersedia untuk memperkukuh hubungan dua hala dan terus meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara inti pati perbincangan beliau dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Phạm Minh Chính menerusi perbualan telefon, hari ini.

"Saya menghargai kesediaan Vietnam untuk menghantar delegasi peringkat menteri bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara. Kami akan terus berhubung menjelang pertemuan seterusnya di China awal September depan," kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, perbincangan itu turut menyentuh pelbagai perkembangan serantau serta isu global seperti tarif Amerika Syarikat, di samping meneroka potensi kerjasama masa hadapan dalam bidang inovasi, keselamatan tenaga serta inisiatif Grid Tenaga ASEAN.

"Kami menyambut baik kemajuan positif dalam rundingan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja, termasuk lawatan pasukan pemantau yang diterajui Malaysia ke kawasan terlibat.

"Kedua-dua pihak turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan bagi menjamin kestabilan dan keamanan rantau ASEAN," kata Datuk Seri Anwar.

MASNIZA AWANG KECHIK