Malaysia-Turkiye setuju tingkat hubungan ke tahap HLSCC

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan selepas kenyataan bersama di Kompleks Presiden / BERNAMA

ANKARA, 8 Januari –Malaysia dan Turkiye bersetuju meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Turkiye setuju tingkatkan hubungan ke tahap Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).
  • Kerjasama dipacu untuk percepatkan perdagangan, pelaburan dan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global.
  • Perkongsian diperluas ke teknologi, pertahanan, pendidikan, penyelidikan dan kewangan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bagi mempercepat kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin mencabar.

“Kami sedar bahawa kerjasama yang bersifat praktikal sahaja tidak lagi mencukupi dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ketika ini.

Keadaan ini menuntut pendekatan dan dasar baharu yang lebih menyeluruh, khususnya bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, di Ankara.

Datuk Seri Anwar menegaskan, persetujuan untuk meningkatkan kerjasama ke tahap HLSCC mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan kukuh antara Malaysia dan Turkiye.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama dua hala turut diperluas ke bidang baharu termasuk teknologi, pertahanan, pendidikan, penyelidikan dan kewangan Islam.

Mesyuarat HLSCC berperanan sebagai platform utama bagi menilai status kerjasama dua hala, menyemak kemajuan inisiatif sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Perbincangan turut merangkumi sektor utama seperti perdagangan, pelaburan, pertahanan dan kesihatan, selaras dengan kepentingan strategik kedua-dua negara.

Datuk Seri Anwar kini dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan.