KUALA LUMPUR, 27 Disember- Malaysia dan Thailand sepakat untuk bersama-sama melonjakkan kerjasama pelancongan selain pembangunan di kawasan sempadan dua negara.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bertemu dengan rakan sejawat, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Phuket, semalam.
“Dalam pertemuan secara santai ini, perbualan kami sempat menyinggung beberapa perkara penting, antaranya terkait soal pelancongan Malaysia-Thailand.
“PM Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung negara secara bersama memandangkan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke Thailand, jelas Anwar menerusi status Facebook.
Menurut perdana menteri, kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.
"Saya dan Srettha juga sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini.
"Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan.
"Kami juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan insya-Allah esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah SWT segera mengangkat bencana ini," kata Anwar.
Untuk rekod, ketika ini beberapa negeri termasuk Kelantan dan Terengganu serta beberapa wilayah di Selatan Thailand dilanda banjir, mengakibatkan ribuan penduduk terjejas.