fb fb fb fb fb

Malaysia-Thailand perkukuh pelaburan, keselamatan

PUTRAJAYA, 11 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis penilaian semula kemajuan Malaysia-Thailand dapat diperkukuh hasil pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin hari ini.

Anwar berkata beberapa jawatankuasa khas dibentuk dalam meneliti aspek perdagangan, pelaburan dan keselamatan sempadan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Semoga dalam satu bulan kita akan bertemu semula selepas laporan itu diserahkan kepada saya dan Srettha.

"Saya pasti berdasarkan rekod prestasinya dan kesungguhannya dalam membina hubungan kedua-dua negara kami akan mebilai semula nota tersebut supaya dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya kepada pemberita dalam Sidang Media Khas di sini.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut melihat potensi yang boleh dibangunkan bersama-sama melalui industri pertanian, pelancongan termasuk sektor halal.

Sementara itu, Srettha Thavisin menyifatkan pertemuan beliau dengan Datuk Seri Anwar cukup bermakna hari ini kerana pertemuan berkenaan sempat membincangkan isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Menerusi perbincangan empat mata itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menjadikan kawasan Utara Malaysia dan Selatan Thailand sebagai zon perdagangan.

"Kami cuba membawa kemakmuran kepada rakyat di bahagian selatan dan utara Malaysia dengan meningkatkan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara.

"Kami juga merancang untuk melakukan dagangan dan saya percaya jumlah dagangan akan meningkat pada masa depan," katanya.

Selain itu, Srettha turut melihat peluang pelaburan yang baik menerusi cadangan Proton-Geely untuk membina kilang kenderaan elektrik (EV) di Thailand.

(Srettha Thavisin (kiri) dan Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA)

Media Baharu