fb fb fb fb fb

Ops Khas Kenderaan Komersial di Melaka, 346 notis saman

BUKIT KATIL, 11 Oktober - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 346 notis saman ke atas 132 kenderaan komersial yang melakukan pelbagai kesalahan menerusi Ops Khas Kenderaan Komersial yang diadakan di seluruh negeri bermula 1 Oktober lalu hingga hari ini.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, daripada jumlah itu sebanyak 75 kenderaan dikompaun, 10 dikenakan tindakan mahkamah manakala bakinya atas pelbagai kesalahan teknikal bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan  Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Sepanjang operasi itu, sebanyak 678 kenderaan komersial termasuk lori simen, lori balak dan lori kontena diperiksa.

Antara kawasan tumpuan operasi ialah sekitar daerah Jasin selain Melaka Tengah dan Alor Gajah.

"Mungkin kalau dia ke Ayer Keroh kalau kita bandingkan, biasanya kalau kita lihat kawasan Ayer Keroh dan kawasan Alor Gajah dari segi aliran trafiknya tinggi berbanding Jasin.

"Yang kedua dari segi jalan, jalan daripada Jasin dan Melaka dengan Alor Gajah agak berbeza dan yang ketiga kawasan tumpuan industri di Jasin, itu yang utamalah, jika nak ke Ayer Keroh dikhuatiri ada kesesakan, jadi akan melalui Jasin yang agak mesra kepada kenderaan berat," kata Muhammad Firdaus, di sini.

(Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff
bercakap dalam satu sidang media, di sini)

Menurut Muhammad Firdaus, sepanjang operasi berkenaan sebanyak empat kenderaan berat disita atas kesalahan tidak memiliki cukai jalan, insurans dan pemandu memandu tanpa lesen.

Antara kesalahan paling banyak dilakukan adalah membawa muatan secara berlebihan dengan 121 notis saman dikeluarkan ke atas pemilik kenderaan berat terbabit.

Pihaknya masih memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama dalam operasi itu melibatkan pematuhan lampu isyarat, penggunaan telefon bimbit ketika memandu memandu di lorong kecemasan, barisan dan garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang dan membawa muatan secara berlebihan dan bahaya.

Media Baharu