fb fb fb fb fb

Malaysia - Thailand harus saling menghormati, tingkat hubungan lebih erat - PM

THAILAND, 10 Februari - Umat Islam di Malaysia dan Thailand harus saling menghormati dan sentiasa mempertingkatkan perhubungan yang lebih erat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam di Malaysia dan Thailand perlu memainkan peranan berkenaan kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

 

Tambahnya lagi, walaupun agama Islam merupakan minoriti di Thailand tetapi mereka perlu sama-sama memperbaiki imej Islam di negara itu termasuk menjaga akhlak dan menimba ilmu.

"Sebagai manusia kita mesti mengekalkan keseimbangan ini, tidak mengabaikan kepentingan pengetahuan, meningkatkan iman, nilai moral dan prinsip etika kita.

"Itu boleh menentukan sama ada kita berjaya atau tidak. Kejayaan kita tidak diukur seperti kebanyakan orang lain, ia juga diukur dengan komitmen kita terhadap keadilan, untuk kemanusiaan, bukan sahaja sama ada kita memperoleh lebih banyak harta atau ilmu sahaja, semoga Allah bantu kita, kurniakan kebijaksanaan, kejayaan dalam apa jua yang kita lakukan,"katanya .

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam satu majls pertemuan ringkas bersama komuniti islam di Pusat Islamik Thailand.

Kedatangan Perdana Menteri ke pusat islam itu disambut baik oleh komuniti islam di sana.

Jelas mereka walaupun jadual padat sepanjang lawatan rasmi dua hari perdana Menteri ke Thailand, namun beliau sempat bertemu dengan komuniti islam di sana.

"Kami rakyat Thailand bangga dapat jumpa dengan Perdana Menteri Malaysia sudi datang  dan ziarah kami orang Thailand, orang islam di sini walupun majoriti Islam dekat sini sikit, tetapi seronok dapat jumpa PM Malaysia," kata Komuniti Islam di Thailand, Shari Adam.

"Kami sangat berbesar hati menerima Perdana Menteri Malaysia dan isteri adalah sangat baik, hubungan yang sangat baik antara Thailand dan Malaysia harus dikekalkan," kata komuniti islam di Thailand, Tesanee Sunee

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Pusat Islamik Thailand (ITC) dan menyampaikan ucapan ringkas kepada jemaah yang hadir.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail serta Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Media Baharu