fb fb fb fb fb

MAIWP salur RM1 juta bantu penduduk terjejas banjir di Johor

(Datuk Dr Mohd Na’im melancarkan Misi Bantuan Banjir MAIWP - Insani / FB MAIWP)

KUALA LUMPUR, 10 Februari-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) salurkan bantuan kewangan RM1 juta bagi membantu mereka yang terjejas banjir di Johor.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bantuan disalur melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama bantuan barangan keperluan dan peralatanpembersihan berjumlah RM250,000.

"Jadi kita gerakkan pula konvoi kali ini ke Johor, seramai 75 orang yang terlibat antaranya MAIWP, syarikat milik MAIWP, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukarelawan skuad cuci-cuci MAIWP dan Briged Muda MAIWP. Semoga sumbangan kecil kita semua akan dapat membantu urusan menyelamat dan meringankan sedikit kesedihan dan kesusahan mangsa-mangsa banjir," katanya.


(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

Beliau ditemui selepas melancarkan Misi Bantuan Banjir MAIWP - Insani di ibu negara.

Misi itu turut membawa sumbangan daripada syarikat MAIWP melibatkan 600 unit set peralatan persekolahan dan 1,000 unit barangan makanan dari Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, 1,000 unit barangan sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dan 100 unit barangan sumbangan daripada Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur. 

Lokasi pertama penyerahan sumbangan adalah di Batu Pahat dan Kluang, diikuti beberapa lagi lokasi yang terjejas.

“Peserta misi konvoi juga akan membantu kerja-kerja pembersihan di beberapa rumah mangsa banjir selain (memberi bantuan) pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Pusrawi dan MAIWP Healthcare,” katanya. 

Mohd Na’im berkata misi itu merupakan kerjasama antara MAIWP dan Yayasan Ezy Prihatin bagi melancarkan misi bantuan berkenaan. 

Sementara itu, ditanya mengenai kerajaan Johor yang mengeluarkan fatwa umat islam dilarang menyertai ritual agama lain, beliau berkata persoalan hukum dan agama Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. 

“Dalam konteks sama ada orang Islam boleh sertai ritual melibatkan agama lain, itu memang dalam jawatankuasa fatwa negeri itu… dalam konteks negeri Johor tadi, maka sudah tentu kita menghormati kepakaran yang ada. Bila fatwa dikeluarkan, maka kita patuh,” katanya. 

Media Baharu