fb fb fb fb fb

Malaysia terus tarik pelaburan asing, buka peluang pekerjaan kepada rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman jemaah pada Program Temu Mesra Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, hari ini. / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 September - Malaysia akan terus berusaha menarik pelaburan asing daripada negara-negara besar termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Brazil dan Afrika Selatan.

Ini bagi meningkatkan perdagangan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha memajukan ekonomi negara tidak boleh hanya tertumpu kepada keuntungan syarikat semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan prinsip keadilan, ihsan dan rahmah seperti yang digariskan dalam gagasan Madani.

“Kalau ada kuasa tetapi kekayaan hanya dipunggah untuk kepentingan diri hingga berbilion ringgit, rakyat tetap tidak terbela.

"Ada syarikat untung ratusan juta setahun tetapi upah pekerja masih di tahap lama. Negara Madani menekankan supaya keuntungan dikongsi dengan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Program Temu Mesra Madani Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Menyantuni Masyarakat, di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan telah menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan dan kini ditingkatkan lagi kepada RM1,700 bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela.

Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut digesa memberi teladan kepada sektor swasta dengan menyalurkan pulangan lebih adil kepada pekerja.

Kenaikan elaun penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah sebagai bukti kesungguhan kerajaan menegakkan prinsip keadilan sosial.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID