fb fb fb fb fb

Malaysia terus pengaruhi negara-negara lain sokong perjuangan Palestin

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini.

KUALA LUMPUR, 1 November - Malaysia tidak akan berhenti melakukan libat urus dan berusaha mempengaruhi negara-negara lain dalam menyokong perjuangan Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu diteruskan bukan sahaja dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) malah Kumpulan 77 Negara (G77) dan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

"Kita mulai melihat pelbagai negara, misalnya satu per satu negara di Amerika Latin mulai menyatakan pendirian mereka menentang rejim Israel yang melakukan penganiayaan berterusan terhadap rakyat di Gaza,” kata Zambry, di sini.

Zambry berkata di peringkat rakyat serta badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting untuk menyebar luas libat urus ini termasuk mereka yang berada di negara-negara luar.

Mengulas tindakan Kerajaan Amerika Syarikat yang menghantar tiga demarche (tatatindak) kepada Malaysia agar tidak meneruskan pendirian terutama keengganan negara untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas, Zambry berkata negara mengambil pelbagai pendekatan untuk menyatakan dengan tegas pendirian Malaysia dalam isu itu.

"Ada yang kata kita perlu hantar nota protes atau panggil duta negara-negara terlibat kita guna semua pendekatan itu untuk sampaikan balik pandangan dan pendirian kita.

Kedudukan prinsip Malaysia sangat jelas dalam konteks perjuangan Palestin, ini bukan perkara baharu tapi sejak dulu lagi dan ini perlu ditegaskan apabila kita berinteraksi dengan mereka,” katanya.

TETITIA YUSOFF