fb fb fb fb fb

Malaysia tangga ke-15 dunia Indeks Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi 2023

Fahmi Fadzil pada satu sidang media di Putrajaya

PUTRAJAYA, 7 Februari- Malaysia berada pada kedudukan ke-15 dunia dan ketiga di rantau ASEAN dalam Indeks Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, IDI 2023.

Ia sekali gus membuktikan negara kini berada pada landasan pemerkasaan jaringan kesalinghubungan dan pendigitalan yang tepat.

Malaysia meraih skor 94.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 100 mata, melepasi skor purata global 72.8 mata.

Jelas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, cabaran kini adalah untuk mencapai 100 peratus liputan 4G seluruh negara.

"Ini adalah keputusan yang sangat baik menunjukkan kita bukan hanya berada di landasan yang betul tapi kita cukup baik, pencapaian bagi Malaysia cukup baik.

"Cabaran kita bagi beberapa tahun akan datang adalah untuk mencapai 100 peratus liputan 4G dan ini melibatkan isu teknikal geofrafi dan pengurusan pihak PBT,"katanya.

Tambahnya, perbincangan telah diadakan bersama pihak berkepentingan dan beliau optimis sasaran 100 peratus liputan 4G diseluruh negara boleh direalisasi.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media di Putrajaya.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan, Program MADANI Rakyat akan diadakan di enam negeri bermula 23 Februari di Selangor.

Ini bagi mempromosikan aspirasi kerajaan dan perkhidmatan yang ditawarkan pelbagai agensi kepada masyarakat.

Beliau berkata, program berkenaan akan dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri yang menjadi lokasi penganjuran bersama kementerian terlibat seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE