TOKYO, 30 Mei- Malaysia memberikan sokongan penuh terhadap Kenyataan Tokyo 2025 yang akan dilancarkan sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT), khususnya dalam usaha membina infrastruktur digital yang berdaya tahan, inklusif dan mampan di rantau Asia Pasifik.
Menurut kenyataan rasmi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Facebook, Malaysia komited memastikan akses sejagat, kesaksamaan teknologi serta kelestarian alam sekitar dalam ruang digital.
“Saya menegaskan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh capaian dan keterangkuman teknologi di peringkat nasional menerusi sesi bersama Menteri bertajuk 'Sustainable Digital Infrastructure and Accessibility'.
“Melalui inisiatif seperti JENDELA, negara telah memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi ke lebih 9.03 juta premis dan meningkatkan liputan 5G ke lebih 82% kawasan berpenduduk.
“Usaha ini menyumbang kepada kemajuan keterangkuman digital, dengan kelajuan jalur lebar mudah alih mencapai purata 105.36 Mbps dan liputan internet sejauh 98.66% pada suku keempat 2024,” kata beliau yang mewakili kerajaan Malaysia pada mesyuarat berkenaan di Tokyo, Jepun.
Datuk Fahmi turut menjelaskan, dengan penembusan mudah alih sebanyak 61% dan pelaksanaan 5G, Malaysia membuka lebih banyak peluang dalam sektor pendidikan dan pelbagai industri lain.
Malaysia juga bersedia bekerjasama dengan negara-negara APT lain bagi berkongsi inovasi serta membina masa depan digital yang inklusif dan mampan untuk manfaat bersama.