fb fb fb fb fb

45 permohonan Geran PPSMI 2025 dalam proses kelulusan

P. Prabakaran bercakap pada sidang media di Putrajaya

PUTRAJAYA, 30 Mei- Sebanyak 45 permohonan bagi Geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia 2025 (Geran PPSMI 2025) siri pertama kini sedang dalam proses kelulusan di Pejabat Perdana Menteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), P. Prabakaran, memaklumkan keputusan kelulusan geran tersebut dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun nanti.

“Untuk fasa pertama, lebih kurang RM40 juta telah pun diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja MITRA dan PEMANDU. Semua kelulusan ini telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan pengesahan terakhir. Selepas itu, barulah kita boleh memulakan program-program seperti dialisis, tadika, program sosioekonomi, serta latihan pensijilan profesional,” jelasnya dalam sidang media di Putrajaya.

Beliau menambah, status projek-projek fasa pertama akan diumumkan secara rasmi di laman web dan media sosial rasmi MITRA selepas kelulusan diperoleh.

Menurut P. Prabakaran, MITRA menerima sebanyak 1,332 permohonan Geran PPSMI 2025 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM564 juta. Namun, melalui proses penilaian ketat, sebanyak 1,073 permohonan telah ditolak kerana gagal memenuhi syarat, termasuk tidak berdaftar secara sah atau tidak menepati skop permohonan MITRA.

Geran PPSMI 2025, yang dibuka pada Disember 2024 dan ditutup pada 5 Januari 2025, mengundang agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat, serta yayasan yang berminat melaksanakan program pembangunan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Program tersebut merangkumi bidang pendidikan dan pengajian tinggi, ekonomi dan latihan kerjaya, kebajikan, sosial, serta identiti dan keterangkuman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE