fb fb fb fb fb

Polis ingatkan orang ramai waspada tawaran haji palsu

Foto- Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Polis mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan tawaran mengerjakan haji yang meragukan susulan langkah kerajaan memperketat pengeluaran visa mujamalah tahun ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata demikian dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di ibu negara.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak status pendaftaran syarikat atau ejen yang menawarkan perkhidmatan haji bagi mengelak ditipu.

Katanya, lebih banyak tawaran mengelirukan dijangka digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa, terutama bagi menampung kekurangan visa yang tersedia.

“Dimaklumkan juga untuk tahun ni, banyak visa-visa mujamalah telah dikecilkan. Saya percaya ramai yang akan tawarkan pakej macam-macam untuk ‘cover’ balik,” katanya.

Setakat ini, satu kes penipuan pakej haji dilaporkan bagi musim haji 2025, melibatkan kerugian sebanyak RM71,000.

Menurutnya lagi, sebuah Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Jemaah Haji Terkandas telah ditubuhkan sejak tahun lalu bagi menyelaras siasatan dan tindakan penguatkuasaan.

Pasukan khas itu turut bertanggungjawab mengurus dokumentasi serta melaksanakan tangkapan ke atas individu atau pemilik syarikat yang disyaki menawarkan pakej haji palsu.

Operasi dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Lembaga Tabung Haji.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN