fb fb fb fb fb

Malaysia-Singapura sepakat sokong gencatan senjata di Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya, dari Singapura, Lee Hsien Loong pada Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura/FOTO RTM

SINGAPURA, 30 Oktober- Malaysia-Singapura sepakat menggesa gencatan senjata dikuat kuasa bagi menjamin ketegangan di Gaza dapat diredakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata resolusi itu bertujuan membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah bergolak tersebut sekali gus menamatkan kesengsaraan rakyat Palestin.

"Apa yang penting adalah persamaan ketika ini.

"Singapura dan Malaysia menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan gencatan senjata. Ketika ini resolusi ini disokong oleh kebanyakan negara di dunia.

"Apa yang paling penting ketika ini adalah untuk menghentikan pembunuhan orang awam, bayi dan wanita", kata Anwar dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura, hari ini.

Malaysia dan Singapura antara 120 negara yang menyokong undi resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB yang menyeru gencatan senjata segera dan berkekalan di bumi Gaza.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyentuh isu berkaitan Batu Puteh yang hanya boleh diselesaikan melalui penglibatan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Tegas Anwar, usaha itu perlu dilakukan walaupun kedua-dua pihak telah membincangkannya sejak 12 bulan lepas.

kedua-dua pemimpin kini menunggu Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) mengenai Pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa ke atas Batu Puteh (Pedra Branca), Middle Rocks (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan).

Ini selaras dengan Perjanjian antara Menteri Luar Singapura dan Malaysia pada 14 Mac 2019, untuk menyelesaikan isu persempadanan sempadan maritim dua hala yang belum selesai.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD