NEW YORK, 26 September- Malaysia menyeru ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar memainkan peranan yang lebih tegas dalam menangani isu kekejaman terhadap umat Islam terutama etnik Rohingya di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan di Myanmar telah melepasi skop hal ehwal dalam negara.
Jelasnya, lebih tujuh juta umat Islam di Myanmar yang terdiri daripada pelbagai etnik. Malangnya hanya 30 peratus yang diketahui umum dan mereka telah ditindas, dibunuh dan rumah dibakar.
Justeru, bantuan dan sokongan kuasa besar, blok-blok berpengaruh dan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan OIC amat dialu-alukan.
ASEAN juga tidak boleh berdiam diri dengan berpegang teguh kepada prinsip tidak mencampuri hal ehwal dalaman sesuatu negara.
"ASEAN telah pun ada platform yang dipanggil TROIKA iaitu tiga negara Iaitu Laos sebagai pengerusi sekarang, Indonesia sebagai bekas pengerusi tahun lepas dan kita pengerusi yang akan datang ini dipanggil TROIKA.
"Kita akan memperkasakan lagi langkah-langkah yang perlu diambil oleh TROIKA ini, tetapi melalui asas ASEAN yang berasaskan kepada Konsensus Lima Perkara", katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pertukaran Nota Diplomatik di New York.
Tambahnya, selain kekejaman terhadap umat Islam, isu lain di Myanmar juga telah menjadi ancaman melepasi sempadan terutama isu pengeluaran dadah, penipuan pekerjaan dan judi dalam talian.