fb fb fb fb fb

Malaysia jalin kerjasama dengan Andorra

Malaysia-Andorra pihak bersetuju untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelancongan

NEW YORK, 26 September- Malaysia secara rasmi menjalinkan hubungan diplomatik dengan Andorra.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelancongan.

Jelasnya, pelancongan adalah asas ekonomi Andorra yang mewakili 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Justeru, Malaysia dan Andorra boleh bekerjasama dalam inisiatif pelancongan bersama seperti gabungan pakej pelancongan atau kempen pemasaran untuk menarik pelancong di kedua-dua destinasi.

"Hubungan diplomatik yang diadakan ini adalah merupakan satu perkara baik yang ditunggu-tunggu oleh Andorra sendiri. Kita juga mengalu-alukan hubungan dua hala ini dijalinkan secara rasminya pada hari ini.

"Kita berharap supaya hubungan dua hala antara Malaysia dan Andorra ini akan diperkemaskan lagi dan dapat dipererat bila adanya hubungan antara 'people to people' terutamanya dari segi pelancongan", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pertukaran Nota Diplomatik dengan Menteri Luar Andorra, Imma Tor Faus di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Sementara itu, Imma Tor Faus pula berharap hubungan diplomatik ini sekali gus melengkapkan lingkaran hubungan diplomatik mereka dengan negara-negara Asia.

"Fokus Andorra pada pemeliharaan ekosistem gunung dan mempromosikan pelancongan lestari seiring dengan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia. Komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar berpotensi besar untuk dimanfaatkan bersama.

"Pelancongan adalah satu lagi bidang dimana kita boleh bekerjasama. Gunung Andorra dan sukan musim sejuk melengkapi pantai dan bandar yang meriah di Malaysia. Dengan mempromosikan pelancongan lestari, kita boleh mengukuhkan ekonomi dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara", katanya.

Andorra merupakan sebuah negara kecil yang terletak di pergunungan Pyrenees di antara Sepanyol dan Perancis dengan populasi sekitar 77,000 orang.

 

ROSLINA BINTI DIN