fb fb fb fb fb

Malaysia sertai Debat PBB, nyata sokongan kepada Palestin

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Malaysia mengesahkan penyertaan dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Januari ini di New York, Amerika Syarikat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor akan mengetuai debat berkenaan, demi menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada Palestin.

Wisma Putra memaklumkan Datuk Seri Mohamad akan mengulangi desakan Malaysia untuk gencatan senjata serta-merta serta menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa.

Beliau juga akan mencadangkan supaya Palestin secara rasmi diiktiraf sebagai negara anggota PBB dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka.

Malaysia juga akan mendesak supaya Israel bertanggungjawab ke atas tindakannya yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

Datuk Seri Mohamad juga dijadual bertemu Setiausaha Agung PBB, António Guterres.

Pertemuan itu bagi menyatakan sokongan Malaysia, melalui penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan cepat, selamat, menyeluruh, berterusan dan tanpa halangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM