SEPANG, 30 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan bersedia memulakan bantahan keras serta menghubungi negara-negara rakan sekiranya misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) diganggu gugat sepanjang pelayaran ke Gaza.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu dan memastikan kebajikan ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu terus terbela.
“Kita akan memulakan bantahan secara yang keras menyeluruh dan saya akan menghubungi sedaya upaya saya semua rakan-rakan termasuk negeri-negeri yang telah mengembangkan usul baru ini selain daripada yang penting Itali, Sepanyol dan Turki yang ke depan, yang dukungan negara China juga. Kemudian kita lihat keupayaan ikhtiar yang dikemukakan oleh Perancis dan Arab Saudi yang juga kita hubungi kerana mereka mahu usulkan perdamaian,” katanya pada sidang media khas di Pusat Gerakan Sumud Nusantara, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar meninjau Pusat Gerakan Sumud Nusantara dan menerima taklimat perkembangan misi Global Sumud Flotilla (GSF) daripada Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.
Perdana Menteri turut menyifatkan keberanian dan kekuatan 34 rakyat Malaysia yang berada dalam flotilla tersebut sebagai suatu yang luar biasa dan bakal tercatat sebagai sejarah besar dalam usaha menegakkan keadilan serta membela nasib rakyat Palestin.
Beliau menambah, penyertaan delegasi Malaysia ini memberi mesej jelas bahawa solidariti terhadap Palestin bukan sahaja hadir di medan diplomasi, tetapi turut dizahirkan melalui pengorbanan di lapangan.