fb fb fb fb fb

Malaysia sedia mempertingkat sistem pengurusan sisa pepejal - KPKT

MUNICH, 3 Jun- Malaysia komited untuk mempelajari sistem pengurusan sisa pepejal di Munich, Jerman.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pihaknya melihat inisiatif serta pendekatan yang digunakan oleh negara tersebut dapat memperkukuhkan lagi usaha pembangunan agenda ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia.

"Kita ambil contoh dari negara terbaik dunia untuk kita bawa pulang ke Malaysia. Ia boleh digunakan bagi tujuan pengurusan sisa pepejal. Untuk kita lebih moden, cekap dan yang paling penting ialah kita nak pastikan bahawa setiap manusia yang lahir mereka adalah penjana kepada sisa dan akhirnya sampai ke tapak pelupusan tanpa melalui program kitar semula," kata Reezal kepada pemberita ketika mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke negara Jerman bermula 30 Mei 2022 sempena IFAT Munich 2022.


(Foto FB Menteri)

Lawatan ini disertai oleh pemain industri pengurusan sisa pepejal di Malaysia, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pasukan KPKT.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpeluang melawat beberapa fasiliti berteknologi tinggi yang menjadi antara pemain utama kepada kejayaan ekonomi kitaran di negara Jerman iaitu Wurser Emwelt, sebuah fasiliti kitar semula.

Selain itu, KPKT juga sedang mengkaji pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) iaitu pendekatan meletakkan tanggungjawab kepada pengeluar untuk merawat dan melupuskan produk pasca pengguna.

Dalam lawatan ke pameran IFAT Munich 2022 ini juga, Datuk Seri Reezal Merican diberi penghormatan untuk menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara syarikat E-Idaman Sdn Bhd dan Eggersmann Anlagenbau GmbH.

Kedua-dua syarikat menzahirkan kerjasama untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang fasiliti pemerolehan semula bahan dalam pengurusan sisa pepejal.

Media Baharu