fb fb fb fb fb

Malaysia sedia hantar pasukan pemantau di sempadan Thailand–Kemboja

Malaysia bersedia menghantar pasukan ketenteraan ke sempadan Thailand–Kemboja bagi membantu memantau keadaan keselamatan di kawasan terbabit, sekiranya diminta oleh kedua-dua negara / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Malaysia bersedia menghantar pasukan ketenteraan ke sempadan Thailand–Kemboja bagi membantu memantau keadaan keselamatan di kawasan terbabit, sekiranya diminta oleh kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata buat masa ini, situasi di kawasan sempadan masih terkawal hasil pemantauan melalui sistem satelit dan kehadiran Atase Pertahanan dari negara-negara ASEAN.

0508 PAR PM RUNDING KONFLIK
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Fail

“Pada malam saya mencapai kesepakatan bersama Perdana Menteri Thailand dan Kemboja, Panglima Angkatan Tentera Malaysia telah pun berlepas ke kawasan sempadan untuk berunding mengenai kaedah pemantauan.

"Setakat ini, kita telah nyatakan bahawa Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan ketenteraan sekiranya diminta. Dalam rundingan saya bersama semua ketua-ketua ASEAN, kesemua mereka bersetuju dan sepakat dengan langkah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat, di sini. hari ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, pemantauan semasa dilakukan melalui satelit dan turut diperkukuh dengan penyelarasan Atase Pertahanan yang dihadiri oleh wakil-wakil dari Malaysia dan Thailand, dikendalikan oleh Malaysia.

“Sekarang ini keadaan terkawal. Satelit dapat memantau, dan Atase Pertahanan turut hadir serta diselaras oleh Malaysia. Kita tunjukkan kesediaan kita, dan kini kita tunggu keputusan pada 7 Ogos ini,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN