KUALA LUMPUR, 15 Disember -Malaysia menyasarkan pengeluaran hampir satu juta metrik tan bahan api penerbangan mampan (SAF) menjelang 2028.
Ia bagi menjamin kestabilan bekalan bahan mentah dan menyokong industri tenaga hijau negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sasaran itu disokong oleh pelaburan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.
Menurut beliau, sebuah syarikat dari Hong Kong telah memulakan inisiatif pengeluaran SAF dengan kapasiti 350,000 metrik tan setahun.
Selain itu, PETRONAS sedang membina sebuah kilang SAF berkapasiti 650,000 metrik tan setahun yang dijangka siap pada 2028.
Mengulas strategi kerajaan, Datuk Seri Johari memaklumkan, dua pendekatan utama diambil.
“Pendekatan pertama, kerajaan masih membenarkan eksport minyak masak terpakai (UCO) kerana pengeluaran SAF domestik belum bermula sepenuhnya. Bagaimanapun, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menghentikan eksport UCO pada masa hadapan.
Langkah itu bertujuan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi menyokong sasaran pengeluaran SAF domestik sehingga satu juta metrik tan setahun menjelang 2028,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tuan Che Alias Hamid di Dewan Negara.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari memberitahu, pendekatan kedua pula memberi penekanan kepada ekonomi kitaran dalam sektor perladangan.
Jelas beliau, sisa seperti Palm Oil Mill Effluent (POME) yang masih mengandungi minyak akan diproses semula sebagai bahan mentah SAF.
Selain itu, sisa sawit seperti tandan buah kosong (Empty Fruit Bunch) serta bahan daripada proses pengeluaran lain yang masih mengandungi minyak turut dikenal pasti untuk diekstrak.
Bahan tersebut akan digunakan sebagai bahan suapan bagi pengeluaran SAF dan tenaga hijau.
“Penekanan terhadap ekonomi kitaran dalam aktiviti perladangan penting bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan mampan untuk industri SAF negara,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu bukan sahaja menjamin keselamatan bekalan, malah menyokong agenda peralihan tenaga serta pembangunan industri hijau Malaysia.