fb fb fb fb fb

Malaysia sasar jadi negara AI menjelang 2030

Menteri Digital Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Malaysia menetapkan sasaran untuk menjadi negara Kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 apabila teknologi itu dijadikan enjin utama pembangunan sosioekonomi, tadbir urus kerajaan dan kehidupan rakyat.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, aspirasi itu akan direalisasikan menerusi pelaksanaan teknologi AI secara menyeluruh merentas sektor kerajaan, industri dan komuniti, selari dengan pelan strategik RMK13.

Beliau menyatakannya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

“Negara AI ialah negara yang meletakkan kecerdasan buatan sebagai pemacu utama pembangunan. AI bukan sahaja mempercepat pertumbuhan ekonomi, malah meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan memastikan manfaat teknologi diagih secara adil, inklusif dan mampan,” katanya.

Menjelang 2030, tiga matlamat utama digariskan iaitu menjadi Hab Teknologi AI Serantau, membangunkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia dan memastikan pembangunan AI yang inklusif dan mampan.

"Bagi mencapai matlamat itu, RMK13 telah menetapkan lima elemen pembangunan utama iaitu dasar berpandangan jauh, ekosistem bakat yang kukuh, kepercayaan digital,
Infrastruktur data dan digital generasi baharu serta pelaburan berkualiti tinggi," jelasnya.

Gobind berkata, Kementerian Digital akan memacu agenda itu melalui lima fokus utama, termasuk mewujudkan tadbir urus AI bersifat etika, memperkasa sektor awam digital, serta memperluas literasi teknologi kepada semua lapisan masyarakat.

Tegasnya, kemajuan teknologi seperti AI tidak seharusnya mencetus jurang digital.

Sebaliknya, menjadi pemangkin keadilan sosial, peluang pekerjaan baharu, dan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar.

JALALUDDIN BIN BAHARIN