fb fb fb fb fb

Isu bendera terbalik di Pontian perlu ditangani secara bijaksana

Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa mengikut jalur undang-undang negara.

PONTIAN, 21 Ogos - Isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pontian, Johor semalam, perlu segera dibawa ke pengadilan dan ditangani secara bijaksana.

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang di lokasi lain.

“Saya bersama 30 jawatankuasa telah bertemu dengan pihak polis untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

Kita bersetuju supaya pendakwaan dikenakan terhadap pihak terbabit dan perkara lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa mengikut jalur undang-undang negara,” katanya.

Ketika ini, Majlis Perbandaran Pontian telah menutup premis berkenaan selama 30 hari kerana melanggar syarat berkaitan pemasangan bendera.

Datuk Ahmad Maslan menegaskan insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya berpunca daripada kecuaian.

Beliau turut menyeru orang ramai agar bertenang dan tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang.

TUN JULIA MOHD TAHIR