ISTANBUL, 20 Oktober - Malaysia terus mengharumkan nama di pentas dunia apabila meraih Anugerah Khas Tertinggi Global Zero Waste Award 2025 anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Istanbul, Turkiye, hari ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden Perhimpunan Agung UN-Habitat, Nga Kor Ming, menerima anugerah berprestij itu daripada Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Turkiye, Ibrahim Yumakli, pada majlis penutup Forum Global Zero Waste yang dihadiri wakil daripada 104 negara.
Menurut Nga, Malaysia antara penerima tertinggi dalam empat kategori utama forum berkenaan.
Antaranya kategori Inovasi dan Penyelidikan, Projek Sisa Sifar, Amalan Sisa Sifar, serta Anugerah Khas Pujian Tertinggi.
"Pengiktirafan ini membuktikan kejayaan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan, ekonomi kitaran dan dasar sisa sifar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini mengesahkan usaha Malaysia dalam pengurusan sisa, pembinaan ekonomi kitaran dan tenaga baharu diiktiraf dunia di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI. Ia hasil dedikasi pasukan KPKT serta seluruh rakyat yang cintakan kelestarian alam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Nga turut menyeru seluruh lapisan masyarakat supaya mengamalkan prinsip 4R - ‘Rethink, Reduce, Recycle dan Reuse’ bagi memastikan bumi terus terpelihara.
“Demi bumi tercinta, marilah kita bersama menghayati semangat 4R bagi mencapai matlamat sisa sifar (Zero Waste),” katanya lagi.
Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025–2035
Dalam ucapannya di hadapan lebih 2,500 peserta forum, Nga turut berkongsi pencapaian negara termasuk pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025–2035, dasar ‘Sampah Jadi Emas’ serta inisiatif ‘Sisa Kepada Tenaga’ yang menggalakkan kitar semula dan penjanaan tenaga daripada sisa pepejal.
Beliau turut memberi contoh tapak pelupusan Taman Perindustrian Tenggara, di Johor Bahru yang berjaya menjadi taman rekreasi.
Ini termasuk pusat rawatan sisa di Kuala Lumpur yang kini memproses 2,500 tan sisa setiap hari menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Selain itu, kempen “Hari Bersih Malaysia” yang digerakkan dua tahun berturut-turut berjaya menggerakkan lebih 100,000 sukarelawan di seluruh negara serta mencipta lima rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.
Anugerah berprestij itu dinamakan sempena Emine Erdoğan, isteri kepada Presiden Turkiye bagi mengiktiraf komitmen Malaysia dalam menjayakan agenda Pembangunan Mampan 2030 di bawah kerangka PBB.
Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Azhar Omar, dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Abdullah.