KUALA LUMPUR, 18 November - Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam industri kewangan Islam hasil pembangunan berstrategi yang digerakkan sejak lebih lima dekad lalu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha iitu didorong melalui penubuhan institusi penting termasuk Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) dan rangka kerja tadbir urus syariah bawah Bank Negara Malaysia (BNM).
Ia sekali gus mewujudkan ekosistem kukuh, berwibawa dan diyakini di peringkat antarabangsa.
"Ekonomi Halal global yang bernilai AS$6 trilion dikenal pasti pemacau pertumbuhan seterusnya. Masa depan kita terletak pada usaha mengintegrasikan kewangan Islam dengan rantaian nilai halal bagi membuka potensi daya saing serantau untuk masa akan datang.
"Menerusi Belanjawan MADANI 2026, Malaysia telah mengambil langkah proaktif mengukuhkan kewangan Islam sebagai salah satu tonggak transformasi negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2025 (KLIFF 2025) di ibu negara.
Prestasi sektor berkenaan semakin memberangsangkan apabila Perbankan Islam kini menyumbang 46.6 peratus daripada keseluruhan pembiayaan negara.
Ia dijangka melepasi paras 50 peratus, sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama di dunia mencapai status tersebut.
