KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Infrastruktur digital negara terus diperkukuh sebagai asas utama ke arah membina Malaysia sebagai sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI).
Dalam sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan, kemajuan kesalinghubungan digital seperti 5G dan pembangunan dasar data sektor awam akan menjadi pemacu utama bagi teknologi AI dan Generative AI (Gen AI).
“Kesalinghubungan telah diperkasa sejak 2018 melalui pelaksanaan melalui projek National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) 2019 yang dijenamakan semula kepada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menyediakan liputan 4G secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sejak pelancaran 5G pada tahun 2021, Digital Nasional Berhad (DNB) telah berjaya mencapai 82.4 peratus liputan di kawasan berpenduduk (Coverage of Populated Areas - COPA), dengan lebih 28.1 juta pengguna aktif 5G di seluruh negara kini menikmati akses rangkaian berkualiti tinggi.
“Rangkaian 5G DNB turut menerima pengiktirafan antarabangsa daripada organisasi penanda aras global seperti OOKLA dan Opensignal atas prestasi serta kebolehpercayaannya,” jelasnya.
Sementara itu, dalam membina ekosistem digital yang selamat dan dipercayai, aspek data juga merupakan fokus utama dalam pembangunan teknologi baharu seperti AI dan Gen AI.
“Kekuatan sebenar AI terletak pada penggunaan data yang telah didigitalkan. Jadi, kita perlu mengenal pasti semua data yang ada merentas sektor termasuk memastikan ia tersedia dalam bentuk digital,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jabatan Digital Negara (JDN) kini sedang merangka Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam, yang dijangka siap hujung tahun ini.
“Polisi ini akan mengenal pasti data dalam semua kementerian dan agensi kerajaan sama ada dalam bentuk analog, audio, visual atau gabungan untuk didigitalkan mengikut piawaian yang mempertimbang tahap keselamatan dan privasi,” tambah beliau.
Selain pendigitalan, penyimpanan data secara sistematik juga diberikan perhatian dengan mewujudkan Bank Data Negara.
Kementerian Digital sedang merangka tindakan yang perlu untuk menjayakan agenda berkenaan.
Langkah itu dijangka dapat memperkukuh ekosistem digital negara, mempercepat pelaksanaan teknologi AI, serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi serantau menjelang 2030.