PUTRAJAYA, 1 Ogos – Malaysia sekali lagi memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam rundingan damai yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan sejawat dari Thailand dan Kemboja dalam usaha meredakan konflik sempadan kedua-dua negara itu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguan hari ini dimaklumkan bahawa pertemuan berkenaan membuahkan hasil positif dengan pelaksanaan gencatan senjata dalam tempoh tiga hari, antara yang terpantas dalam sejarah konflik serantau.
“Ini merupakan kejayaan diplomasi yang amat signifikan. Seperti yang disebut Panglima Angkatan Tentera, gencatan senjata ini merupakan antara yang paling singkat, tetapi paling berkesan pernah dicapai,” katanya dalam Sidang Media Mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, Kerajaan Thailand telah meminta supaya Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang seterusnya tidak diadakan di Phnom Penh, sebaliknya dipindahkan ke Kuala Lumpur.
“Mesyuarat pra-GBC dijadual berlangsung pada hari Isnin dan mesyuarat penuh GBC pada hari Selasa akan diuruskan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef),” katanya.
Difahamkan, wakil-wakil pertahanan dari negara-negara ASEAN, termasuk atase pertahanan dari Amerika Syarikat dan China, turut diundang menyertai sesi berkenaan.
Selain rundingan lanjut, mesyuarat itu juga akan menyentuh aspek penubuhan pasukan pemantau ASEAN, yang akan memastikan pematuhan terhadap gencatan senjata berjalan lancar serta menjamin kestabilan di kawasan sempadan yang terlibat.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dan pendamai utama di rantau Asia Tenggara.