KUALA LIPIS, 1 Ogos - Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan penubuhan persatuan bapa di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan sebarang bantuan sekiranya memerlukan.
"Itu cadangan, mungkin bapa-bapa memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya. Kita boleh menyalurkan bantuan dan sekiranya diperlukan apa salahnya kalau diwujudkan persatuan bapa, kita ada persatuan ibu tunggal sebagai contohnya", katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang di Arena Jubli Perak, Kuala Lipis.
Program julung kali itu diadakan itu bagi menghargai peranan dan pengorbanan bapa.
Lebih RM141 juta telah disalurkan sejak tahun 2020 dalam pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada pelajar sehingga ke peringkat warga emas.
Sebanyak RM50.54 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam menjayakan inisiatif rakyat, tahun ini.
Inisiatif itu termasuklah bantuan dan pinjaman mikro bagi membantu ketua keluarga untuk bangkit semula.