KAHERAH, 10 November- Malaysia dan Mesir bersatu dalam mengecam kekejaman dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian tegas menentang keganasan yang berlaku di Gaza serta mengutuk tindakan Israel yang menolak bantuan kemanusiaan selain berterusan melakukan pembunuhan.
"Kami telah mengambil pendirian yang tegas dalam hal ini untuk menentang sekeras-kerasnya, malah saya telah mengemukakan idea bahawa apabila sebuah negara menolak untuk mengiktiraf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), pilihan terbaik adalah untuk mengusir mereka daripada PBB.
"Sudah tentu, terdapat pertimbangan perlu diambil kira, namun saya memahami betapa kompleksnya situasi ini kerana apa yang anda sampaikan, keutamaan adalah gencatan senjata dan keamanan. Tanpa pelaksanaan itu, lebih ramai akan terus terkorban, terutama wanita dan kanak-kanak yang diserang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi pada lawatan rasmi empat hari ke Mesir di Istana Al-Ittihadiya di sini.