fb fb fb fb fb

Malaysia lantang isu Palestin, ugutan terhadap PM tidak munasabah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

LONDON, 27 Oktober- Tidak ada sebab yang munasabah untuk mana-mana negara luar mengugut atau membuat ancaman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya semata mata beliau lantang mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ia merupakan pendirian seorang pemimpin utama yang mewakili seluruh ahli parlimen.

"Ini adalah pendirian rasmi dan negara Malaysia sebagai negara berdaulat harus dihormati biarpun pendirian dan pandangan kita berbeda daripada negara negara yang tidak bersetuju dengan pendirian.

"Kita juga lihat suara lantang PM adalah suara lantang bukan sahaja masyarakat Islam tetapi pelbagai agama dan kita mengutamakan nilai-nilai kesejagatan dalam pendirian rasmi kita,"katanya.

Beliau juga menekankan bahawa tidak ada keperluan untuk kerajaan mendedahkan negara yang terlibat dalam melakukan ancaman berkenaan.

Langkah tersebut bukan hanya melibatkan soal keselamatan, tetapi juga soal rahsia diplomatik yang harus dipegang oleh Perdana Menteri. 

Datuk Seri Anwar sebelum ini mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar hanya kerana beliau tegas memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang diserang bertubi tubi oleh tentera Israel.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Diaspora di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London.

Sementara itu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama beberapa orang ahli parlimen pembangkang di United Kingdom.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib malang yang menimpa rakyat Palestin ketika ini.

"Pendiriannya kita tahu berbeda dengan dengan pendirian ketua kerajaan di sini, mereka secara kebetulan adalah daripada parti di luar daripada parti pemerintah dan mereka sangat prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin dan tindakan segera perlu dilakukan terhadap rakyat Palestin yang berada di Gaza,"katanya.

Empat ahli parlimen yang terlibat adalah Rushanara Ali, Catherine West dan Wajid Iltaf Khan daripada Parti Buruh serta Baroness Uddin.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE