fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan Israel terhadap sekolah seliaan PBB

Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 5 Ogos-Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terkini oleh rejim Zionis Israel yang menyasarkan dua sekolah di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza, iaitu sekolah Hassan Salama dan al-Nasr.

Jelas Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kerajaan Malaysia menuntut tindak balas yang lebih konkrit dan berkesan daripada masyarakat antarabangsa, terutamanya mereka yang memperjuangkan peraturan perintah antarabangsa, terhadap rejim Zionis Israel yang terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan di Gaza.

“Rejim Zionis Israel menunjukkan keangkuhannya kepada dunia dengan mengabaikan seruan antarabangsa bagi gencatan senjata seperti yang digariskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024).

"Mereka gagal menghormati semua undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” tambah kenyataan itu lagi.

Jelas Wisma Putra, Malaysia akan terus berpegang teguh kepada komitmen terhadap perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Malaysia turut berhasrat untuk bekerjasama dengan negara-negara sepemikiran bagi menyokong kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD