KUALA LUMPUR, 11 Disember - Malaysia dan Korea Selatan memperkukuh kerjasama dalam pembangunan lebuh raya serta inovasi pengangkutan.
PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu dicapai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia dan Ministry of Land, Infrastructure and Transport (MOLIT) Korea Selatan.
"MoU peringkat kementerian menjadi asas penting kepada hubungan strategik antara PLUS dan Korea Expressway Corporation (KEC) dalam usaha merangka kemajuan teknologi serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua pengendali lebuh raya utama di rantau ini.
"Hubungan strategik PLUS-KEC membuka ruang penerokaan teknologi baharu termasuk penurapan jalan, sistem kamera pintar berasaskan kecerdasan buatan serta solusi sistem tol moden," menurut kenyataan itu.
MoU antara Presiden KEC, Ham Jin-Gyu dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, dimeterai bersempena 20th ITS Asia Pacific Forum 2025 di Suwon, Korea Selatan, turut disaksikan pengurusan kanan kedua-dua organisasi.
Sementara itu Datuk Nik Airina menegaskan kerjasama dua tahun itu seiring visi PLUS untuk menyediakan pengalaman lebuh raya bertaraf dunia lebih pintar dan mesra alam.
"Fokus kerjasama ini merangkumi pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), infrastruktur lestari serta peningkatan keupayaan tenaga kerja di kedua-dua negara," tambah kenyataan itu.
PLUS menegaskan kerjasama Malaysia–Korea menjadi model progresif dalam menghadapi cabaran industri pengangkutan global, selain menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi, ketahanan infrastruktur dan kepuasan pengguna lebuh raya.
Kerjasama itu turut menyokong transformasi digital serta agenda teknologi hijau kedua-dua negara bagi memenuhi keperluan mobiliti masa hadapan.