PUTRAJAYA, 10 Mei - Hala tuju strategik sektor air negara akan diketengahkan pada Sidang Kemuncak Air Sedunia 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mewakili Malaysia pada sidang kemuncak di Paris, Perancis yang bermula 10 hingga 14 Mei ini.
Beliau akan menyampaikan ucaptama dalam sesi plenari pembukaan pada 13 Mei, bertemakan Merealisasikan Ekonomi Sumber Air (Delivering the Economics of Water).
Dalam ucapannya, Datuk Seri Fadillah akan mengetengahkan komitmen Malaysia dalam tadbir urus air yang lestari, termasuk kejayaan negara dalam pelaksanaan penggunaan semula air bagi sektor industri dan peluasan perkhidmatan sanitasi kepada golongan berpendapatan rendah.
Penyertaan Datuk Seri Fadillah merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja rasmi beliau ke Perancis dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam sektor peralihan tenaga dan pengurusan air.
Beliau juga mengadakan lawatan penanda aras ke loji janakuasa tenaga nuklear milik Electricité de France (EDF) pada 12 Mei, sebagai sebahagian daripada usaha meneroka potensi tenaga nuklear sebagai sumber alternatif di Malaysia.
Selain, dijadual mengadakan sesi perbincangan dan perkongsian ilmu bersama enam institusi utama Perancis termasuk Kementerian Ekonomi dan Kewangan serta Agensi Kebangsaan Pengurusan Sisa Radioaktif (ANDRA) bagi memahami pendekatan Perancis dalam teknologi dan tadbir urus nuklear.
Lawatan rasmi Datuk Seri Fadillah Yusof mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan dan tadbir urus baik dalam memperkukuh daya saing negara di peringkat global.
Ia juga menandakan langkah proaktif Malaysia dalam menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor tenaga dan air menjelang 2040.