BANDARAYA MELAKA, 27 September - Malaysia komited dalam memastikan sektor pelancongan negara berdaya tahan dan bebas karbon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dilihat bertepatan dengan tema Hari Pelancongan Sedunia 2025, 'Pelancongan dan Transformasi Lestari'.
Inisiatif tersebut turut mengekalkan komitmen negara terhadap perlindungan alam semula jadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
"Untuk membina industri pelancongan yang bertaraf dunia dan bersedia menghadapi masa depan, kita mesti terlebih dahulu memelihara warisan semula jadi, sambil memanfaatkan kekuatan yang menjadikan Malaysia unik.
"Dengan berbuat demikian, kita dapat menarik minat pelancong dari setiap pelusuk dunia", katanya.
Mengulas mengenai tema WTD 2025, ia dilihat amat bertepatan dengan pendekatan negara yang menekankan pelancongan berteraskan nilai dan tanggungjawab bersama.