Malaysia komited jadi pembekal minyak sawit boleh dipercayai kepada India

Perdana Menteri bersama Perdana Menteri India, Nadrendra Modi, mempengerusikan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya/Foto Pejabat Perdana Menteri.

PUTRAJAYA, 8 Februari – Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menjadi pembekal minyak sawit lestari yang boleh dipercayai kepada India.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia komited jadi pembekal minyak sawit lestari dan boleh dipercayai kepada India.
  • Kedua negara setuju kerjasama dalam penanaman kelapa sawit dan pembangunan produk hiliran bernilai tambah.
  • Tekanan pada kestabilan, ketahanan dan kemampanan rantaian bekalan untuk keselamatan makanan kedua-dua negara.
  • Perjanjian untuk dialog berkala, pertukaran maklumat dan libat urus berstruktur bagi tangani akses pasaran dan gangguan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara bersetuju bekerjasama dalam sektor agri-komoditi dan keterjaminan makanan dalam penanaman kelapa sawit.

“Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pembekal minyak sawit mampan dan pada masa sama menggalakkan kerjasama lebih mendalam dalam penanaman kelapa sawit serta pembangunan rantaian nilai, termasuk produk hiliran berasaskan sawit bernilai tambah tinggi,” katanya menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Luar Negeri.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memastikan rantaian bekalan yang stabil, berdaya tahan dan mampan bagi menjamin keselamatan makanan serta keperluan nutrisi rakyat kedua-dua negara, selaras dengan dasar domestik masing-masing.

Tambah kenyataan itu, Malaysia dan India juga bersetuju meningkatkan dialog berkala, pertukaran maklumat serta langkah kolaboratif bagi menjangka dan mengurangkan sebarang gangguan terhadap pengeluaran serta perdagangan pertanian.

Selain itu, kedua-dua pihak turut mencapai persetujuan untuk mengadakan libat urus berstruktur bagi menangani isu akses pasaran secara tepat pada masanya, sekali gus memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala dalam sektor makanan dan agri-komoditi.

Perdana Menteri India Narendra Modi, tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari.