KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Himpunan Pembebasan Palestin di ibu negara malam tadi memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia kekal berada di belakang Palestin dan terus menuntut kemerdekaan negara itu daripada rejim zionis Israel.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjuangan menuntut pembebasan Palestin kini bukan hanya merupakan perjuangan orang Islam, sebaliknya membabitkan perjuangan sejagat.
"Tak kira kaum, agama bersama-sama menyatakan betapa kita amat kesal... kesal perkataan ringan... kekejaman langsung tak berperikemanusiaan.
"Kita bersama-sama katakan kutukan kita terhadap Israel dan kekesalan Malaysia terhadap pembunuhan Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh baru-baru ini. Ini merupakan satu usaha menggagalkan sebarang usaha genjatan senjata," katanya.
Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan, rakyat Palestin perlu diberi hak sepatutnya.
"...kita nyatakan tidak akan tunduk dengan kezaliman kebobrokan rejim israel dan nyatakan penbunuhan syahid ismail haniyeh akan terus membakar semangat untuk terus bangkit.
"Perjuangkan hak rakyat Palestin untuk kembali diberi hak mereka dan kita akan bersama-sama menggembleng tenaga di seluruh negara dan dunia," katanya.
Manakala Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Israel perlu menghentikan serangan ke atas Palestin dan pembunuhan beramai-ramai mereka yang tidak berdosa.
"Israel perlu keluar dari Palestin dan hentikan pembunuhan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada menekankan soal bantuan kemanusiaan yang mesti diselaras dengan tersusun.
"Begitu juga rakan saya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam forum antarabangsa, ini adalah usaha berterusan kita harus kekal yakin perjuangan diangkat untuk kebebasan," katanya.
Bagi Menteri Sumber Manusia Steven Sim, isu Palestian bukan hanya berkaitan islam semata-mata malah ia dianggap sebagai satu perjuangan kemanusiaan secara bersama-sama.
"Isu Palestin, bukan isu Islam semata-mata dan terbukti sejarah komuniti global 1997 Nelson Mandela berkata pembebasan Palestin adalah satu perkara dekat dengan jiwa dan perjuangan rakyat Afrika," katanya.