fb fb fb fb fb

Malaysia harus bina ekosistem mantap pacu perkembangan, penggunaan AI - PM

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Malaysia perlu bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu perlu agar negara tidak ketinggalan dengan mengambil kira perkembangan kepesatan perubahan dunia ketika ini.

"Saya tegaskan kita tidak boleh dengan pendekatan lama. Kalau kita rasa perlu tambah jurutera harus ada pendekatan segera kerana dalam pasca normal ini, memaksa dan menuntut kita membuat perubahan dengan pantas dan cepat," katanya semasa melancarkan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di sini hari ini.

Anwar turut menggariskan empat teras ekosistem berkenaan iaitu tadbir urus AI (AI governance) untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik di samping pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC) bagi memastikan penyelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Selain itu, pembangunan industri AI melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan keempat, bakat AI yang merangkumi profesional dan inividu berkemahiran melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan akademia.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi gesaan supaya tidak mengheret pemikiran lapuk dan jumud dalam kalangan anak-anak muda termasuk membicarakan soal merugikan masa serta menanam bibit permusuhan dan perpecahan.

"Tumpu pada masa depan negara. Selamatkan bangsa dan negara termasuk dalam upaya mengapai pemikiran baru serta membina ekosistem AI di negara kita," katanya.

SITI AISHAH MD ISA