fb fb fb fb fb

Malaysia gesa semua pihak hormati proses keamanan, segera muktamadkan gencatan senjata

Penduduk Palestin melakukan solat jenazah, di Bandar Gaza/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama-sama pemimpin Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar ke arah memuktamadkan segera perjanjian gencatan senjata untuk membantu penduduk Gaza.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.

Malaysia juga sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

"Secara prinsip, Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa. Dalam konteks ini, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.

"Malaysia berharap perbincangan akan datang yang bakal diadakan pada 15 Ogos 2024 akan membuahkan hasil yang positif dan menghalang konflik yang semakin meruncing dan mencapai penyelesaian secara aman," katanya.

Pada masa sama Malaysia turut menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan selain menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza, dan Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin tidak berbelah bahagi, termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, dan penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI