fb fb fb fb fb

Malaysia galakkan pelabur China kongsi teknologi, bantu perkukuh PKS

Foto BERNAMA

SELANGOR, 13 Oktober- Malaysia menggalakkan pelabur China berkongsi teknologi bagi membantu rantaian pembekalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta membangunkan ekosistem industri moden.

Bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Sulaiman Mahbob, berkata kerjasama itu diharapkan dapat memajukan sektor perindustrian negara dan memperkukuh ekonomi domestik.

Pelaburan dalam sektor pertanian turut menjadi tumpuan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, selain meningkatkan pengeluaran produk tempatan.

Langkah itu bertujuan menarik pelabur untuk memperkenalkan teknologi moden dalam bidang pertanian komersial.

"Prinsip utama yang dipegang oleh kerajaan, terutamanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, adalah fokus kepada pertumbuhan ekonomi melalui pengurangan ketidaksamaan, pengurangan kemiskinan, dan usaha mencapai kualiti hidup yang mampan serta berjangka panjang.

"Prinsip utama ialah keterangkuman, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi," katanya dalam ucapan pada Forum Pertukaran Budaya dan Pelaburan Perdagangan Ekonomi China-Malaysia 2024 di sini.

Beliau menambah bahawa prospek pertumbuhan ekonomi yang positif dapat menarik minat pelabur asing, disokong oleh pelaburan yang kukuh, projek infrastruktur kerajaan, dan penyesuaian gaji yang meningkatkan permintaan.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM