fb fb fb fb fb

Malaysia dijangka miliki polisi kenderaan usang - Adham

(FOTO FB MOSTI)

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Malaysia dijangka akan memiliki polisi pelupusan kenderaan hujung hayat (ELV) dalam tempoh tiga tahun bagi memanfaatkan komponen kenderaan usang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Malaysia kini memiliki 33 juta kenderaan berdaftar berpotensi untuk tersadai apabila tidak digunakan kelak.

Menurutnya, lambakan kenderaan usang ini berlaku kerana masih belum ada polisi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan penekanan diberikan kepada kaedah pelupusan yang tepat.

(Datuk Seri Dr Adham Baba / FOTO FB MOSTI)

"Usaha proaktif perlu diambil bagi mencapai ekosistem hijau yang kondusif seiring dengan matlamat Malaysia Lestari 2030.

"Pelaksanaannya memerlukan penelitian yang mendalam maka semua pihak perlu memainkan peranan dari segi advokasi dan berganding bahu bagi mencari kaedah terbaik menangani isu ini khususnya dalam kalangan penyelidik dan cendekiawan," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Kitar Semula Automotif Malaysia (MAARA), di Kampus UTM Jalan Semarak, di sini.

Tambah Adham, komponen kenderaan usang ini boleh menjana pendapatan yang dianggarkan bernilai RM10 bilion jika dikitar semula untuk menghasilkan produk lain.

"kita mahu melihat di mana industri ini dapat berkembang, kita menjemput sektor seperti MAARA ini dan juga beberapa persatuan lain yang berkaitan dengan komponen kenderaan ini tampil untuk membantu kita merangka bagaimana industri ataupun komponen yang boleh guna semula berkembang dalam negara kita," katanya.

Media Baharu